Tuesday, November 15, 2011

XPDC Bukit Kutu


Pemandangan Dari Puncak Bukit Kutu

Ekspedisi kami kali ini ke Bukit Kutu yang berada di ketinggian 1100m/3600ft dari aras laut. Kedudukannya yang berada di dalam daerah Hulu Selangor iaitu Kuala Kubu Bharu. Ada juga yang memanggil Gunung Kutu sebeb ketinggiannya tidak seperti bukit. Setiap bukit dan gunung yang kami redah, pengalaman, keadaan cerita yang sangat berbeza. Bukit Kutu atau dulu dikenali sebagai Treacher's Hill yang paling sinonim ialah kisah sejarahnya.Untuk sampai ke puncak Bukit Kutu mengambil masa lebih kurang 3 ke 4 jam perjalanan yang bermula dari Kampung Orang Asli Peretak. Perjalanan yang bermula pada jam 9.00pagi diketuai oleh En Faizal dan disertai seramai 24 orang Geng Gunung DMG. Pada tahun 1900an dulu Bukit Kutu merupakan weekend retreat untuk orang-orang British dan tempat itu juga pernah di bom oleh tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua. Pemandangan begitu indah dapat dilihat seluruh Pekan Kuala Kubu dan Genting Highland jelas kelihatan dari puncak Bukit Kutu.

















Permulaan perjalanan agak santai serta landai melalui denai dan menyeberangi 2 sungai dan beberapa anak sungai sehinggalah di 2 kilometer terakhir, ianya memerlukan keringat yang banyak untuk melalui track yang mencanak dan beberapa bahagian yang curam. Walaubagaimanapun kecuraman track di sini jauh berbeza jika hendak dibandingkan dengan track di Gunung Nuang. Trail yang ada merupakan 1 trail tunggal, yang kadangkala ianya tidak terurus. Akar-akar, pokok-pokok tumbang yang banyak, diikuti dengan track-track yang bercabang membuatkan pendaki selalunya tersalah arah. Kecuali mereka sangat fasih dengan trail yang ada, mungkin akan perasan yang trail tadi bagaikan berpusing kembali di tempat yang baru sahaja dilalui tadi. Pokok renek dan semak samun perlu ditempuh sebelum berjumpa dengan laluan hutan yang biasa digunakan. Pada peringkat ini laluan agak sukar dan curam. Bukit Kutu juga tidak sesuai untuk pendaki yang kali pertama mendaki kerana ianya memerlukan stamina dan mental yang kuat untuk sampai ke puncak. 
  
























































Selepas 2 jam kami mendaki, tibalah dikawasan batu-batu yang amat besar. Ada yang panggil Gua Kambing dan ada juga yang menamakan Batu Tedung. Kami berehat di Gua Kambing selama 10 minit sementara menunggu semua pendaki berkumpul disitu semula. 












Kami meneruskan perjalanan dengan track yang lebih curam akhirnya setelah sejam lebih aku mampu tersengih penat aku hampir sampai ke puncak. Di puncak ada sebuah cimney dan 2 telaga air (satu telaga air jernih masih boleh digunakan oleh pendaki yang bermalam disitu dan satu lagi sudah kering) tapi ini bukanlah puncak yang sebenar. 


















Setelah bergambar disitu kami terus panjat ke puncak yang paling tinggi. Sampai dipuncak kami bergambar dengan keindahan semulajadi yang mengujakan. Dari puncak Bukit Kutu jelas kelihatan keindahan alam seluruh Pekan Kuala Kubu Bharu. Sangat mengagumkan..!!















Puncak Bukit Kutu

Setelah melihat pemandangan dan mengalas perut kami meneruskan perjalanan yang mengambil masa 5 minit ke bekas Rumah British. Sejarah bukit ini amat mengujakan kerana pada zaman British dulu, Rumah Rehat ini dibina sebagai tempat istirehat di hujung minggu di kalangan orang British. Dibenak fikiran, terfikir bagaimana mereka membawa peralatan dan membina rumah rehat di puncaknya dengan jarak perjalanan dan kecuraman bukit tersebut. Namun sekarang rumah rehat yang dibina hanya tinggal runtuhan akibat dari serangan bom oleh tentera Jepun sewaktu Perang Dunia Kedua.























































Selepas berehat sejam setengah, jam 2.30petang kami turun dan perjalanan turun mengambil masa 1jam 45minit dan kami sempat bermandi manda di sungai sementara menunggu yang lain sampai. Apa yang pasti kami berjaya sampai ke bawah dengan selamat. Kesimpulannya Bukit Kutu merupakan tempat sejarah pendakian bukit di Malaysia yang menarik untuk diterokai. Lebih kurang jam 5.30petang kami bertolak pulang ke Rawang. 












Photo credit to Hairi Jasadi & Ahmad Fiqrie

Thursday, November 3, 2011

TIPS KESELAMATAN PENDAKIAN GUNUNG


 “Jangan Memperkecil Alam Semulajadi”

Pendakian gunung di kawasan hutan tropika telah menjadi salah satu pengisian pilihan ramai bagi aktiviti lasak rekreasi luar di Malaysia. Rata-rata aktiviti pendakian atau jelajah gunung (mountain trekking) dijalankan di persekitaran hutan semulajadi yang berlatarbelakangkan sumber rekreasi dan ekopelancongan yang masih asli. Kebanyakan rentis gunung atau rentis di hutan semulajadi telah wujud sejak sekian lama dan mungkin telah digunakan oleh generasi terdahulu sebagai laluan perhubungan dan mungkin juga ia turut dikongsi sama oleh hidupan liar sebagai denai dan kawasan keliaran.

Walaupun rentis pendakian menuju puncak Gunung Tahan dan puncak Gunung Benom tidak memerlukan individu mempunyai kemahiran teknikal pendakian (seperti penggunaan tali, kapak ais, mendaki tembok batu dll) beberapa kemahiran seperti penggunaan alat perkhemahan dan asas pertolongan cemas adalah sangat penting. Perlu diingatkan laluan pendakian yang akan ditempuhi adalah pelbagai situasi (menaik-menurun-memanjat-menyeberang sungai) yang mana ia mampu memberi tekanan berlebihan terhadap buku lali, lutut dan seluruh anggota badan oleh itu pendaki perlu sentiasa berhati-hati serta mendengar arahan atau mendapatkan pandangan pemandu arah/ guide.

1. Berjalan/ Trekking Dengan Selamat

  • Pastikan sentiasa berjalan di atas rentis sediada, dilarang membuka rentis baru.
  •  Bergerak dalam kumpulan dan sentiasa amalkan buddy system (sistem berpasangan).
  •  Pastikan trekking tamat sebelum hari gelap, jika terpaksa berjalan dalam gelap pastikan berjalan dalam satu kumpulan besar.
  • Memakai stokin panjang untuk mengelakkan pacat.
  •  Memakai pakaian yang nipis, longgar dan diperbuat daripada kapas untuk keselesaan semasa trekking
  •  Dilarang membuat bising untuk mengelakkan ganguan kepada hidupan liar.
  •  Untuk keselamatan, membawa barang dengan tangan adalah tidak bersesuaian kerana tangan tidak sekuat bahu dan tulang belakang bagi tujuan membawa beban yang berat. Bagi tujuan keselamatan, tangan hendaklah sentiasa berada dalam keadaan bebas agar dapat melakukan perkara lain seperti memegang, memaut, menarik, menampan, menyentuh dan menepis.
  •  Beri perhatian lebih semasa perjalanan turun kerana kebiasaannya kecederaan/ kemalangan mudah berlaku pada waktu ini.
  •  Jika anda tersesat atau salah jalan, STOP
              S – Berhenti (stop)
              T – Fikir (think)
             O – Perhati (observe)
              P – Rancang (plan)

Jangan berpecah dan sentiasalah berada bersama kumpulan, jangan bergerak supaya anda mudah dicari dan ditemui jika perlu, bergerak ke tempat yang mudah pasukan pencari dan penyelamat mendengar atau melihat isyarat kecemasan anda.
  • Sentiasa perhati langkah dan tempat anda berpijak atau berpaut.
  •  Kawal tingkahlaku jangan terlalu gembira dan bersuka-suka.
  •  Jaga tutur kata dan jangan terlalu celupar.
  •  Rancang perjalanan dan bawa bekalan makanan secukupnya, sebaiknya bawa bekalan makanan kecemasan yang disimpan dan tersorok di dalam beg.
  •  Jika terserempak dengan hidupan liar elakkan pertembungan secara berhadapan sebaik-baiknya berundur perlahan-lahan dan jangan sekali-kali melakukan pergerakan yang boleh membuatkan hidupan liar terkejut dan rasa tercabar.
  •  Jika hujan lebat, angin kuat, guruh atau petir tangguh dan hentikan aktiviti atau perjalanan. Cari tempat perlindungan seperti tapak khemah atau stesen henti berdekatan, dirikan tempat perlindungan sementara (khemah atau fly sheet). Elakkan berlindung berhampiran pokok besar dan perhatikan aras dan arus sungai kerana di kawasan hutan kejadian kepala air atau kenaikan mendadak air sungai mudah berlaku.
2. Tips Kesihatan
  •  Digalakkan kepada bakal pendaki membuat persediaan fizikal sebelum cuba menawan Gunung Tahan dan Gunung Benom, antaranya latihan jogging atau berjalan, berbasikal, berlari, berenang dan senaman adalah baik untuk menguatkan sistem kardiovaskular individu. Secara amnya apa-apa senaman atau pergerakan fizikal yang meningkatkan kadar degupan jantung selama lebih kurang 20 minit sehari mampu mambantu.
  •  Semasa ekspedisi setiap pendaki perlu berfikiran positif dan sentiasa bersedia dari segi fizikal dan mental untuk menghadapi sebarang situasi.
  •  Mempunyai fizikal dan kekuatan fizikal yang baik.
  •  Tiada masalah jantung dan pernafasan.
  •  Mempunyai lutut dan buku lali yang sihat dan baik.
  •  Berjalan mengikut langkah sendiri dan ambil masa serta tahu had kekuatan fizikal anda.
  •  Dapatkan nasihat doktor jika anda sedang mengambil sebarang ubat atau mempunyai masalah kesihatan.
  •  Setiap individu digalakkan mempunyai bekalan ubat dan minyak urut yang dibawa sendiri.
  •  Tips pencegahan Malaria
  •  Gunung Tahan dan Gunung Benom terletak di Semenanjung Malaysia dalam Asia Tenggara merupakan salah satu kawasan yang mempunyai endemik malaria di dunia ini.
  •  Apa itu Malaria:
- Malaria adalah sejenis penyakit berjangkit yang boleh membawa maut. Manusia mendapat malaria akibat daripada gigitan nyamuk yang telah dijangkiti kuman malaria.Teknik pencegahan adalah dengan cara mengambil ubat antimalaria atau mengelak dari digigit nyamuk. Pil antimalaria boleh didapati dari farmasi.
  •  Tanda-tanda dijangkiti malaria:
- Seperti dijangkiti selsema, termasuk menggeletar/ terketar-ketar, sakit kepala, kesakitan otot dan  keletihan.
- Rasa loya/ mual, cirit-birit dan muntah-muntah juga boleh berlaku.
- Anemia dan Jaudice (penyakit kuning – kulit dan mata) akibat kekurangan/ kehilangan sel darah merah.
- Jika tidak/ lewat dirawat boleh menyebabkan kekeliruan minda, koma, kegagalan buah pinggang dan kematian.
- Rawatan perubatan boleh didapati dengan mendapat nasihat dari doktor.

3. Iklim dan Cuaca
  •  Malaysia yang terletak berhampiran garisan khatulistiwa antara garisan lintang 10° dan 70° Utara dan garisan bujur 100° dan 119° Timur mengalami iklim jenis tropika.
  •  Lazimnya iklim Malaysia terbahagi kepada dua musim, iaitu musim monson barat daya dan musim monson timur laut ia tertakluk kepada pengaruh laut dan perubahan sistem angin yang bertiup dari lautan Hindi dan laut China Selatan.
  •  Lazimnya suhu harian adalah seragam sepanjang tahun iaitu antara 21°C hingga 32°C, namun di dalam hutan dan kawasan tanah tinggi pada waktu malam suhu boleh turun sehingga 15°C.
  •  Kelembapan adalah tinggi iaitu 80% dan purata hujan lebih kurang 2000mm setahun.
  •  Musim hujan di Gunung Tahan dan Gunung Benom biasanya antara November hingga Januari. Oleh itu disyorkan masa terbaik untuk pendakian adalah antara bulan Mac hingga Ogos.
  •  Diingatkan kepada pendaki Gunung Tahan dan Gunung Benom perlu sentiasa bersedia dengan sebarang perubahan cuaca.
4. Leave No Trace Ethics (Etika Beraktiviti di Kawasan Semulajadi)

Take Nothing But Picture, Leave Nothing But Foot Prints
Peningkatan populariti aktiviti lasak terutamanya pendakian gunung membawa kepada peningkatan jumlah pendaki. Dimana kebanyakkan kita tertarik untuk melibatkan diri kerana kecantikan, keaslian, dan keterpencilan sumber, bentuk muka bumi yang pelbagai serta cabaran yang terhidang adalah unik disamping pengalaman yang bakal ditempuhi menjadi kenangan seumur hidup.
Gunung-gunung ini adalah sumber semulajadi yang perlu dilindungi dan seharusnya tidak dikorbankan hanya untuk memenuhi keperluan dan kehendak manusia. Jabatan berusaha menyedarkan orang ramai melalui penyebaran maklumat dan percaya jika masyarakat dididik mereka pasti akan membantu dalam usaha-usaha yang dibuat untuk melindungi dan mengekalkan sumber semulajadi.

Membuat Perancangan & Sentiasa Bersedia
  •  Dapatkan maklumat dari sumber yang sah berkenaan: keadaan laluan/ rentis, cuaca, peralatan yang perlu dan peraturan serta permit.
  •  Bersedia untuk sebarang kemungkinan, cuaca ekstrem, kemalangan dan kecederaan serta keperluan untuk menyelamatkan diri.
  •  Buat perancangan untuk makanan, peralatan perkhemahan, bahan api, dan bahan buangan.
  •  Pilih laluan sesuai mengikut keupayaan kumpulan, kemampuan fizikal dan pengalaman.
  •  Beritahu rakan atau keluarga berkenaan perancangan anda.
  •  Jika boleh, bawa bersama dan tahu cara menggunakan peta, kompas dan global positioning system (GPS).
Berjalan & Berkhemas Di Atas Permukaan Sedia Ada Dan Tahan Lasak
  • Di Atas Rentis:
- Gunakan rentis sedia ada, elakkan membuka rentis baru.
- Jalan di bahagian tengah rentis, walaupun ianya berair, berlopak atau berlumpur.
- Elakan memijak vegitasi lantai hutan.

  •  Di Tapak Perkhemahan:
- Gunakan tapak perkhemahan sedia ada, dilarang membuka kawasan baru.
- Hadkan keluasan kawasan perkhemahan. Tumpukan aktiviti di kawasan yang tidak mempunyai tumbuhan.
- Di kawasan ’pristine’, kembangkan penggunaan bagi mengelakkan wujudnya tapak perkhemahan dan rentis baru.

 Pelupusan Sampah & Sisa Manusia

- Bawa keluar apa-apa yang dibawa masuk. (Pack it in – Pack it out)
- Sisa makanan ditanam dalam lubang sekurang-kurangnya 30cm dan dikambus semula tanpa meninggalkan sebarang kesan.
- Bawa keluar tin-tin makanan dan tabung gas untuk memasak yang telah kosong. Jangan sekali-kali ditinggalkan.
- Jangan tinggalkan apa-apa sampah di atas rentis terutama bungkusan makanan yang dibuka ketika berhenti rehat
- Semasa berjalan kutip apa jua sampah/bahan asing yang tidak sepatutnya berada di atas rentis dan simpan untuk pelupusan yang sepatutnya.
- Bersihkan tapak khemah dari sampah sebelum anda meninggalkan kawasan perkhemahan termasuklah yang telah ditinggalkan oleh kumpulan terdahulu jika ada.
- Najis manusia hendaklah dibuang dalam lubang yang digali sedalam 20 cm atau sekaki dan sekurang-kurangnya 200 kaki dari punca air, khemah dan rentis. Timbus semula lubang tersebut apabila selesai digunakan
- Bawa keluar tisu tandas dan barang kegunaan sendiri seperi sabun dll.
- Ditempat-tempat yang di sediakan tandas, gunakan kemudahan yang disediakan sebaik mungkin, selenggarakan dengan sempurna selepas guna dan sebelum meninggalkan kawasan perkhemahan yang terdapat kemudahan tandas.
- Tuala wanita hendaklah dibungkus sebaiknya dan dinasihatkan supaya dibawa keluar. Elakkan dibuang di dalam hutan.

Tinggalkan Apa Yang Anda Lihat & Jumpa

- Biarkan apa yang dilihat atau ditemui dalam keadaan semulajadi.
- Biarkan segala batuan, bahan galian, tumbuhan, hidupan liar, serangga dan bahan sejarah atau artifak yang anda temui dalam keadaan semulajadi

Kurangkan Impak Unggun Api

- Unggun api dinyalakan di atas tapak atau bekas sediada dan menggunakan kayu yang dikutip dan telah sedia patah atau jatuh.
- Elakkan membuat unggun api yang terlalu besar.
- Gunakan dapur memasak mudah alih.

Hormati Hidupan Liar

- Jika terserempak dengan hidupan liar elakkan pertembungan secara berhadapan sebaik-baiknya berundur perlahan-lahan dan jangan sekali-kali melakukan pergerakan yang boleh membuatkan hidupan liar terkejut dan rasa tercabar.
- Perhati hidupan liar dari jarak yang selamat, jangan ikut atau menghampiri ia.
- Elakkan memberi makan atau meninggalkan makanan untuk dimakan hidupan liar.
- Lindungi hidupan liar dari makanan anda dengan menyimpannya di tempat selamat.

 Bertimbang Rasa Terhadap Pendaki Lain

- Berkerjasama dan berkomunikasi dengan kumpulan pendaki lain.
- Elakkan bercakap atau ketawa terlalu kuat, kekalkan suara anda seminimum mungkin - bunyian alam lebih indah dari suara anda.
- Pastikan kumpulan anda berkhemah di satu kawasan, elakkan memasuki kawasan perkhemahan kumpulan lain.

Memori Gunung Nuang

Walaupun agak terlambat, aku tetap nak buat entry pasal Gunung Nuang nie. Gunung Nuang yang terletak di Hulu Langat. Mempunyai ketinggian 1,493 meter (4898ft dari aras laut) dan gunung yang tertinggi di Negeri Selangor. Sempadan puncak negeri Pahang dan Selangor.

Niat hati memang tak akan panjat lagi gunung Nuang kerana mengingatkan kembali nostalgia perit semasa menawan puncak Nuang 12 tahun yang lalu. Sumpah susah nak panjat!! tak tipu...!! Ketika itu aku baru berusia 15 tahun dan  itulah pertama kali aku kena gigit pacat dan disebabkan seekor pacat tue lah yang buat aku sangat benci dan berani memicit binatang itu..!! benci..benci.. suka-suka jer hisap darah aku kan..!! kira balas dendam la sebab dia dah meninggalkan parut di kaki gebu aku masa tue... sampai sekarang pacat pun tak mau gigit aku lagi..!! Gunung Nuang juga untuk kali pertamanya aku bercamping, memasak, minum air sungai.. kiranya belajar kesusahan di dalam hutan la.. sangat tak sesuai dengan personaliti aku masa tue yang konon-konon pengeli dengan tanah-tanah nie dan bajet cun dengan lepak kat shopping complex jer.. tapi apakan daya kami semua dipaksa menyertai aktiviti yang dianjurkan oleh Club Taekwondo... Suasana flora dan fauna gunung Nuang 12 tahun lepas memang tidak ketara perbezaannya cuma yang masih segar diingatan rumah orang asli disitu yang tak berubah-ubah.. Kem Lolo yang banyak kenangan..hehehehe... tapi memikirkan mendaki jam 3.00 pagi dari kem Lolo ke puncak Nuang amat memeritkan!! dengan keadaan lecak, kabus dan trek yang mencanak membuatkan aku bersumpah tak akan sampai situ lagi..!!

Tapi itu cerita 12 tahun yang lalu so sekarang nak hiking santai-santai jer jadi join lah Geng Gunung DMG untuk panjat gunung Nuang.. Cadangan awalnya ingat nak hiking sampai kem Lolo jer memandangkan keperitan menawan puncak Nuang dulu.. tapi..... sampai jer sana aku tercabar!! Kitaorang deal dengan Nasir dan Shah untuk sampai ke puncak sebelum pukul 1.00 tengahari.

Ok, let start our journey. start mendaki gunung Nuang pukul 8.30 pagi. Estimate sampai check point pertama iaitu kem Lolo lebih kurang 2 jam. Semangat punya pasal aku, Nasir dengan Shah buat 1 jam 30 minit aje meninggalkan 11 orang peserta yang lain.. power tak power lah kitorang masa tu...hehehe. Kem Lolo nie, memang sesuai untuk camping dan ada air terjun yang sangat best dan sejuk. bajet masa tu nak mandi-mandi lepas panjat gunung so kitaorang meneruskan perjalanan..
So next check point kat kem Pacat. Jarak perjalanan dari kem Lolo ke kem Pacat nie ambik masa 2 jam kalo tak silap aku. Masa nie aku dah start pancit, dengan keadaan aku yang datang bulan pulak masa tue memang sangat terseksa jiwa raga!! so aku mintak rehat 10 minit. Dia punya curam, boleh dikatakan dalam julat 80-90 degree....dah lah xde tali. Tapi ketahanan mental sangat penting semasa hiking..!! aku motivated diri aku untuk teruskan juga memandangkan aku perlu sampai puncak sebelum jam 1.00 tengahari.
Meneruskan perjalanan yang sejuk dan nyaman menuju ke check point terakhir iaitu puncak tipu atau nama sebenarnya Puncak Pengasih sebelum sampai ke puncak sebenar lagi sekali amat mencabar dengan trek yang semakin mencanak, dengan trek yang nak bagi kaki lumpuh dan lecak menyukarkan perjalanan kami.. Walaupun penat kami bertiga tetap meneruskan perjalanan tanpa henti.. masa nie aku lihat Shah sudah mula pancit dan aku juga makin tertekan sehinggakan ingin berhenti hingga puncak pengasih jer.. tapi semangat Nasir membuatkan aku meneruskan perjalanan.. Mental juga aku masa nie.. (time-time nie lah terpikir baik tido kat umah sambil menikmati aircond dan hidangan enak-enak yang di masak oleh ma tanpa bersusah payah memerah keringat dan menahan kelaparan..!!)

Perut makin berbunyi-bunyi menandakan aku sudah lapar!! dan benda yang paling bodoh pernah aku buat tinggalkan makanan di beg orang lain.. (konon-konon tak mau bawak beban.. sumpah serik!!) dan masa tue dia orang hanya menunggu di kem Lolo jer.. jadi bekalan makanan aku tertinggal di bawah..!! arghhh... Nasir hanya bawa bekalan untuk diri sendiri jer masa tue..!! Shah juga tertinggal bekalan makanan di bawah.. aku hanya melapik perut dengan berkongsi coklat snikers dengan Shah...
Kira-kira jam 1.30 tengahari kami bertiga sampai ke puncak Nuang.. Argghhh... rasa nak menjerit masa tue... Akhirnya, ku tawan lagi puncak Nuang setelah bergelar mak orang... Nasib aku tersangatlah baik bila ader group lain offerkan makanan mereka kat aku kan.. Ya Allah, masa tue tuhan jer tahu betapa perit dan terseksanya aku... Dah macam orang Somalia yang kelaparan masa tue..!! bekalan air pun dah tinggal sikit untuk simpanan masa turun nanti.. setelah makan aku merehatkan diri sekejap sambil memikirkan azab untuk turun nanti...

Jam 2.45 petang kami mula turun memandangkan cuaca yang agak mendung dan kami perlu sampai bawah sebelum matahari terbenam.. Shah masa nie berlari sambil turun, Nasir setia menemankan aku yang mengalami kekejangan kaki sekejap.. Selepas kem Pacat kami mula berlari bersama bagi mengejar masa untuk bermain air di kem Lolo... walaupun sebenarnya aku hampir nak pengsan.. ku gagahkan jua kaki ini melangkah.. cuaca semakin mendung dan petir semakin kuat dan kami perlu berlari sepantas kilat supaya tidak terkandas (sangat pandai, pergi hiking melenggang tanpa bawak torchlight mahupun first aid kit..) sampai jer di pintu masuk hutan lipur gunung Nuang, hujan makin lebat dan kami selamat sampai sebelum maghrib...

Kaki ku.... sumpah kejang... akhirnya balik dari Nuang aku terus pegi klinik untuk ambil injection...!! (tapi esoknya boleh sambung hiking kat shopping complex plak..!!) Kiranya perjalanan aku sampai ke puncak memakan masa 6 jam (kebiasaannya 8 jam) dan turun memakan masa 5 jam.. aku semakin berbangga dengan stamina aku sekarang walaupun kadang-kadang agak semput jugak...!!

*** Al-Fatihah kepada mangsa tanah runtuh di Hulu Langat yang mana tragedi itu berlaku semasa aktiviti hiking kami ke Gunung Nuang dan kami berada di tempat kejadian semasa itu..